MY AI NEXUS 2024: Langkah Pertama KPT Jayakan Gagasan AI Negara
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan Timbalannya, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud telah mengiringi Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim meluncurkan Malaysia Artificial Intelligence Nexus 2024 (MY AI NEXUS) di ibu negara pagi tadi.
Majlis anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dijayakan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tersebut merupakan sebuah program khas yang bertujuan menemukan pakar-pakar tersohor dalam bidang kecerdasan buatan (artificial intelligence – AI), universiti, industri, agensi-agensi dan pemegang taruh berkaitan dalam usaha memacu ketersediaan AI di Malaysia.
Peluncuran Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) UTM yang pertama seumpamanya di Malaysia adalah agenda utama majlis selain peluncuran AI Talent Roadmap for Malaysia (2024-2030) dan juga Malaysia Artificial Intelligence Consortium (MAIC).
Dengan penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) pertama di Malaysia ini, ia mencerminkan kerjasama antara KPT dengan UTM sebagai langkah strategik Kerajaan MADANI yang berjaya dilaksanakan dalam tempoh tiga (3) bulan, hasil kesatuan pemikiran dan tindakan daripada warga KPT, UTM, dan pelbagai pihak.
Manakala pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi serta pemantapan ekosistem pemboleh daya bagi sektor pendidikan tinggi dalam pelaksanaan kecerdasan buatan dimantapkan melalui penubuhan Malaysia Artificial Intelligence Consortium atau MAI Consortium.
Selain itu, majlis turut menyaksikan pertukaran Surat Niat (Letter of Intent) antara KPT dengan gergasi teknologi dunia, NVidia serta penyampaian watikah pelantikan profesor adjung Fakulti AI UTM.
Hadir sama Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil; Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Chang Lih Kang bersama Timbalannya, YB Dato’ Haji Mohd Yusof Apdal; serta Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.